Sebab Sebahagian Penulisan Saya Tidak Disebarluaskan



Di sini saya ingin menjelaskan mengapa saya menetapkan privasi pada penulisan saya. Pertama sekali, sudah tentu ini akan menimbulkan kejutan besar pada masyarakat sama ada dalam waktu terdekat ataupun pada masa yang lama. Sebenarnya saya tidak menyebarkan sebahagian penulisan ini bukan bermakna saya berada di pihak yang salah atau penakut. Saya mengambil kira kepentingan maslahat masyarakat umum sebelum saya bertindak. Saya tidak mahu tatkala masyarakat sedang dilanda krisis ekonomi, kemanusiaan, kebajikan dan lain-lain tetapi diheret pula dengan isu-isu piscisan sehingga banyak masalah yang utama tidak selesai dan terbantut. Dan begitu juga untuk tenangkan masyarakat dengan sesuatu pendapat yang agak berlainan daripada pegangan dan budaya mereka memakan banyak masa dan tenaga untuk melakukannya. Saya masih belum yakin akan adanya diskusi secara ilmiah dengan sihat tanpa perlunya maki hamun, cerca cela, persangkaan dan tanggapan buruk serta tidak berkelapangan dada dalam halnya. Saya bukanlah takut untuk ini, tetapi memandangkan ini semua lebih banyak merugikan masa dan tenaga untuk melayani orang-orang yang tidak sihat, lebih baik saya mengambil langkah lebih awal. Namun, saya akan memulakan langkah jikalau suasana tersebut berubah dan bersesuaian.

 

Kedua, sebahagian penulisan saya saling berkaitan antara satu sama lain. Kadangkala saya pisahkan satu penulisan dengan penulisan lain yang berkaitan dan kadangkala saya cantumkan keseluruhannya tetapi dengan penjelasan yang panjang lebar. Memandangkan banyaknya keterangan yang diperlukan untuk memahamkan opini dan argumen saya, maka ini adalah suatu kerja yang sukar. Saya sendiri bukanlah mempunyai kelapangan masa untuk menjelaskan secara panjang lebar dan saya juga belum yakin bahawa para pembaca akan meneliti setiap penulisan saya untuk mendapat kefahaman saya yang benar sebelum membuat penilaian, komentar dan kritikan. Dengan itu, saya tidak menyebarluaskan sebahagian penulisan ini kerana khuatir mereka yang terus termakan dengan penjelasan yang belum lengkap tetapi ingin terus menerus membuat onar.

 

Ketiga, kadangkala sebahagian penulisan saya mempunyai semakan semula secara aktif untuk membuat editan semula. Kadangkala editan itu bukanlah pada susunan huruf, pembetulan ejaan yang salah, tidak ada ruang antara perkataan dengan perkataan yang lain atau pembetulan dari segi teknikal penulisan, tetapi kadangkala editan pada penyusunan bahasa dalam berhujah, membuang hadis-hadis yang dianggap tidak boleh berhujah dengannya, menambah hadis-hadis yang boleh dibuat hujah dengannya, menambahkan keterangan dan lain-lain. Disebabkan saya tidak mahu pembaca terlepas dengan penulisan-penulisan yang telah dikemaskini dan mereka masih berpegang pada penulisan yang lama, maka saya tidak membuka penulisan ini kepada awam. Lebih sukar jika penulisan tersebut telah tersebar pada orang lain.

 

Inilah sebab-sebab utama saya tidak menyebarluaskan sebahagian penulisan saya. Dan jika ditanya mengapa saya masih menulis sekalipun hasil tulisan itu tidak diperoleh orang ramai? Saya katakan, ini semua adalah sebagai tanda untuk diri saya bahawa saya akan berkomitmen dalam ilmu tanpa perlu mengharap balasan daripada orang lain. Semuanya hanya untuk Allah Ta'ala semata-mata. Kalau pun akhirnya orang ramai mulai berpusu-pusu untuk menelaah sebahagian penulisan saya, tetaplah saya akan terus berbakti dengan apa-apa yang telah saya letakkan matlamat tersebut. Jikalau ada yang ingin mengambil manfaat daripadanya, mudah-mudahan ia menjadi petunjuk dan rahmat di dunia dan di akhirat.