Penafian Saya



Saya seperti penjual trampolin. Saya sentiasa menyatakan kepada pelanggan saya agar pastikan keselamatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya dan jangan menggunakannya selagimana tidak dipastikan keselamatannya. Apabila pelanggan tidak mengendahkan kenyataan saya, kemudian mereka tertimpa kemalangan, adakah saya bertanggungjawab atas mereka? Tidak sama sekali.

 

Begitulah saya mengingatkan kepada para pembaca agar tidak mengambil dan mengikut pendapat saya sebelum dipastikan terlebih dahulu kebenarannya. Selagimana dia tidak mampu untuk independen dalam berhujah dengan cara yang setara dengan saya atau lebih unggul daripada saya, selagi itu dia bukan pengikut atau teman terutama saya. Apabila di akhirat kelak, saya sendiri tidak akan mengaku sebagai pengikut atau teman terutama saya tatkala dibuktikan kepada saya tentang dakwaan tersebut cumalah kosong semata-mata.

 

Jika saya salah, maka kesalahan itu saya akan tanggung dan saya akan celaka apabila kebenaran itu tertegak kepada saya, lantas saya mengingkarinya. Sebab itulah wajar seseorang menjadi pengikut dan teman kepada kebenaran, bukan hanya semata-mata terhadap individu atau pihak tertentu. Kebenaran melangkaui sesiapa sahaja termasuklah saya yang Allah kehendaki untuk zahirkannya dengan cara yang kita tidak sangka.

 

Kalau seseorang itu kembali kepada saya, lalu menyatakan trampolin tersebut rosak, tetapi dia tidak membuktikan apa-apa, maka kesalahan itu tertanggung pada dirinya. Begitulah juga kepada orang yang menyalahkan saya tanpa alasan dan hujah yang kukuh. Sesungguhnya, merekalah yang memikul beban mereka. Saya telah usahakan yang terbaik untuk membentangkan kebenaran, jika orang lain hanya bersikap ingkar dan nista, maka saya telah tunaikan tanggungjawab saya.

 

Bagi mereka yang tidak mengetahui apa-apa, maka sikap yang perlu diamalkan adalah tawaqquf, iaitu tidak menolak dan tidak pula menerima sebelum jelasnya pengetahuan dan pemahaman tentangnya. Janganlah seseorang itu melangkaui sesuatu yang dia tidak tahu tentangnya kerana setiap anggota kita dipertanggungjawabkan atas tindakan kita. Sanggupkah kita dihukum kerana menggelumangkan diri dalam sesuatu di luar batasan kita setelah kita tahu peringatan tentang bahaya berlebih-lebihan terhadap apa yang diposisikan untuk kita?

Walaupun saya tidak memaksa semua orang untuk mengikuti pandangan saya dan bertegas untuk menyaring ketat dalam mengambil pandangan saya, mungkin ada yang tertanya mengapa gaya penulisan kadangkala seperti mendesak agar bersandar dengan pendapat saya dan menemplak mereka yang menyalahinya? Maka, ibaratnya seperti saya seorang penjual trampolin. Sememangnya sebagai peniaga perlu mempromosi dan mengiklankan produk mereka demi pendedahan kepada orang ramai tentang produk mereka. Walaupun kita pujuk dengan pelbagai cara, pilihan akhir untuk membelinya tetap pada orang sasaran, bukan peniaga.

 

Begitu juga dengan ibarat sebagai seorang doktor. Sememangnya doktor akan menekan pesakit supaya mengambil rawatan lanjut dan proses pemulihan supaya sesuatu penyakit itu terubat setelah terbuktinya penyakit yang wujud pada pesakit itu. Walaupun begitu, keputusan akhir tetap pada pesakit itu sama ada untuk terus mengambilnya atau enggan terhadapnya.